"Although they plan...Allah also plans...and Allah is the best of planners" ~ Surat Al-Anfal: 30
11 March, 2011
850 Buruh Binaan Hilang Pekerjaan Gara-gara Pembinaan Hospital Shah Alam Tergendala - Dah Lama Tak Follow Up ...whew :(
850 Buruh Binaan Hilang Pekerjaan Gara-gara Pembinaan Hospital Shah Alam Tergendala
Kementerian Kerja Raya digesa segera menyelesaikan masalah pembinaan Hospital di Shah Alam yang tergendala sejak tiga bulan lalu.
Seorang pegawai tinggi sebuah syarikat yang terlibat dalam projek itu tetapi enggan dikenali, berkata kira-kira 850 pekerja buruh binaan bagi projek pembinaan sebuah hospital itu terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka ekoran mendakwa tidak dibayar gaji.
Beliau berkata tindakan pekerja buruh itu mendatangkan kesan sampingan kepada pembinaan projek yang terpaksa diberhentikan sementara waktu.
Ikuti laporan eksklusif ini oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz.
"Sekarang ini saya berada di sekitar lokasi tapak pembinaan Hospital Shah Alam yang kini sudah tergendala pembinaannya selama tiga bulan. Projek pembinaan hospital ini yang kini sudah lama tergendalanya perlu disiapkan pada Jun 2011.
“Tetapi apa yang menyedihkan kira-kira 850 pekerja buruh binaan hospital ini meninggalkan pekerjaan mereka kerana mendakwa mereka tidak dibayar gaji sejak Mei tahun ini.”
Tinjauan TV Selangor ke lokasi pembinaan hospital ini mendapati tiada seorang pekerja buruh binaan pun yang tinggal untuk menyiapkan projek tersebut.
Dari hari ke hari, pekerja binaan buruh ini terpaksa berdepan dengan 1001 pertanyaan dan keraguan sejak gaji mereka tidak dibayar.
Keluhan mereka dapat dilihat melalui banting yang dipasang di luar pagar projek berkenaan.
Antara yang tertera pada banting tersebut ialah “SAYA LAPAR! TOLONG BAYAR GAJI SAYA. KALAU TIDAK, SAYA BERSAMA KAWAN-KAWAN AKAN MEMBUAT PENGADUAN KE PEJABAT BURUH ATAU KEDUTAAN.”
Dalam tempoh tiga bulan ini, tiada sebarang tindakan dari pihak bertanggungjawap untuk menyelesaikan masalah yang sekian lama membelit semua pekerja buruh binaan ini.
Seorang pegawai tinggi syarikat yang terlibat dalam projek itu berkata, ekoran sudah tidak tahan dengan kerenah birokrasi kontraktor, akhirnya semua pekerja membuat keputusan untuk meninggalkan pekerjaan itu.
“Banting itu dipasang adalah kerana pekerja-pekerja sub kontraktor atau pekerja-pekerja tambahan yang sudah buat bekerja di sini sudah tidak dibayar dan sub kontraktor ini telah menggajikan pekerja buruh binaan ini untuk melakukan kerja mereka.
“Apabila sub kontraktor tidak mampu dibayar, mereka pun tidak mampu untuk membayar pekerja mereka, sebab itu kemungkinan sebahagian daripada pekerjanya ada hak untuk mereka membuat bantahan dan mereka telah menunjukkan bantahan dengan memasang banting tersebut,” kata Pegawai Tinggi itu.
Pegawai Tinggi itu turut berkata kesemua mereka kini sudah beralih ke projek pembinaan lain ekoran mata pencarian mereka kini tersekat, sekali gus mendatangkan bebanan berpanjangan untuk menyara kehidupan keluarga masing-masing.
Dalam berdepan masalah pekerja, beliau berkata projek mereka bentuk, menyiapkan dan menyelenggara sebuah hospital ini perlu disiapkan pada Jun 2011.
Projek ini tergendala sejak Mei lalu ekoran Bank Rakyat Sdn Bhd terpaksa menyekat bayaran kepada sub kontraktor dengan peruntukan RM7 juta yang diluluskan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata Bank Rakyat terpaksa berbuat demikian berikutan arahan mahkamah yang menyekat sejumlah peruntukan untuk membina hospital itu
“Peruntukan daripada JKR memang masuk ke dalam Bank Rakyat, Bank Rakyat tidak mahu membayar kepada pekerja-pekerja atau kontraktor atau sub kontraktor ke atas projek ini.
“Akibat daripada itu, semua wang JKR yang masuk ke Bank Rakyat, satu sen pun tidak dibayar ke projek. Tetapi bank ada tolak bunga daripada duit yang dia kutip. Itu adalah salah, bagaimana kamu boleh mengambil hak kamu dan kamu mengetepikan hak orang lain,” katanya.
Sebelum ini di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua meminta kerajaan menjelaskan kedudukan projek hospital itu yang gagal siap mengikut jadual asal atas sebab sub-kontraktor, Isyoda (M) Sdn Bhd yang tidak dibayar selama tiga bulan.
Beliau mendakwa projek pembinaan hospital itu sudah mengamalkan sistem 'Ali Baba' apabila kontraktor utama, Sunshine Fleet Sdn Bhd hanya mengambil untung tanpa melakukan apa-apa kerja.
Selain itu, pegawai tinggi itu merujuk jawapan dari Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor bahawa dengan perlaksanaan undang-undang baru kerajaan memberi menjamin sub-kontraktor akan dibayar tepat pada waktunya.
Bagaimanapun hari-hari yang dilalui hanya dipenuhi awan mendung apabila jaminan yang diberikan Kementerian Kerja Raya, hanya tinggal janji semata-mata.
“Sepatutnya bank tidak boleh buat begitu, merujuk kepada kontrak yang kita ada, bank patut bayar kepada kita kerana kita bertelingkah dengan Sunshine Fleet, bank pegang semula duit itu, bank sudah selesaikan masalah dengan Sunshine Fleet bagaimanapun masalah itu tidak boleh diselesaikan, jadi kami minta bank bayar kepada kontraktor atau sub kontraktor tetapi kalau bank tidak mahu bayar juga, dia perlu tidak bayar kepada kontraktor utama atau kepada sub kontraktor, cukup sekadar bayar gaji pekerja tetapi bank terpaksa menolak kerana Sunshine Fleet menolak untuk memberi kerjasama.”
GMH sebelum ini mengeluarkan notis tuntutan itu bertarikh 31 Mac mengikut Seksyen 218Akta syarikat 1965 kepada Pengerusi Eksekutif Sunshine Fleet.
Mengikut seksyen itu, mahkamah boleh mengeluarkan perintah penggulungan jika syarikat terbabit gagal membayar hutang dan asetnya akan dirampas.
Pegawai tinggi berkenaan berkata perbicaraan akan berlangsung pada 14 Oktober ini.
Pada 2007, projek ini disub kontrak Sunshine Fleet kepada syarikat pembinaan Isyoda M Sdn Bhd tetapi gagal meyiapkan projek berkenaan, sebelum disub-kontrak kepada GMH.
Pegawai tinggi itu turut memaklumkan GMH telah membayar ganti rugi yang ditanggung Isyoda sebelum ini, sub kontraktor pertama yang dilantik Sunshine Fleet.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menggesa Kementerian Kerja Raya mengambil tindakan segera ekoran ia melibatkan wang rakyat berjumlah RM482 juta.
Beliau menggesa kementerian itu bertindak secara efektif dengan menyediakan satu klausa yang membolehkan masalah itu diselesaikan dengan cepat dan cekap.
“Pihak JKR dan Kementerian Kerja Raya mesti mengambil alih projek ini dengan segera dan biarlah berurusan dengan kontraktor yang sedia ada dibuat kerja dan kita buat pengurusan pentadbiran yang lebih cekap dan kita uruskan projek itulah.
“Kita memang sudah beritahu kepada pihak Kementerian dan juga Jabatan Kerja Raya supaya mereka mengambil tindakan segera tetapi mereka tidak buat apa-apa, itu yang jadi masalah.
“Sepatutnya begini jika mana-mana syarikat yang tidak dapat berkhidmat dengan baik, kerajaan mesti ada satu klausa perjanjian itu yang mana dia boleh mengambil alih projek ini dan sekarang ini jika mereka tidak boleh buat projek itu sepatutnya mereka sedar kegagalan mereka untuk membina masa depan rakyat dan membela hak rakyat,” katanya.
Labels:
my stories
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment