Persiapan Diri Menunaikan Umrah
Memperbetul tujuan semata-mata kerana Allah S.W.T.
Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:
- diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.;
- caranya menepati syariat yang ditetapkan;
- tidak berlaku sebarang penyelewengan; dan
- ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.
Mendapatkan ilmu yang cukup
Setiap
ibadah termasuk umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini
kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja.
Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami
supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa
bergantung kepada orang lain.
Menggunakan sumber wang yang halal
Ibadah
umrah adalah merupakan salah satu persembahan kepada Allah S.W.T. Sama
ada diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana
sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit
yang digunakan.
Pastikan
wang ringgit yang digunakan untuk menunaikan umrah (tambang menambang,
makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk
kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari
sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram,
selain dari berdosa, boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam
kehidupan.
Menjaga kesihatan jasmani dan rohani
Pelaksanaan
ibadah umrah memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan
emosi. Bakal jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang
baik dan seimbang serta memperbanyak aktiviti riadah. Selain itu, jemaah
hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal
perasaan.
Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain
Ibadah
haji adalah rukun yang kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah
syahadah mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan
dan mengeluarkan zakat.
Bakal-bakal
jemaah umrah perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna
bersabit tuntutan Syahadah, sembahyang, puasa dan zakat serta
melaksanakannya.
Memperbanyakkan amalan sedekah
Sesuatu
yang boleh meringankan bebanan orang lain (termasuk suami, isteri,
ibubapa, saudara mara, sahabat handai, faqir miskin, anak yatim dan
sebagainya) sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga hatta senyuman
atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah
pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama manusia.
Bakal
jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga
di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut
membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula,
para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk
memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.
Menunaikan sembahyang berjemaah
Matlamat
menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk
memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di
Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan
sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat
berjemaah.
Menjauhi amalan-amalan syirik
Menyengutukan
Allah adalah merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang
yang hendak menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti
beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan
sebagainya.
Selain
itu, bakal-bakal jemaah hendaklah menghindari sifat suka mengejar
kebendaan dan kesenangan hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram,
dosa dan pahala serta syurga dan neraka.
Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)
Tanah
Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang
sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah S.W.T. hendaklah
mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah
niat di hati.
Sifat-sifat
buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka
mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi.
Menurut maksud hadith, hasad dengki menghapuskan amal kebaikan seseorang
sepertimana api membakar hangus kayu api.
Tanah
Suci Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap
pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur,
tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi
sesama jemaah.
Membersihkan diri dari dosa
Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:
- meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa;
- berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi;
- merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu; dan
-
jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan
pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang diambil
dari manusia tersebut.
Berdoa dan bertawakkal
Perancangan
Allah S.W.T. mengatasi segala perancangan makhluk-Nya. Segala persiapan
yang telah dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah dapat dilakukan
dengan sempurna. Justeru, para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah
S.W.T., memohon keampunan dan pertolongan-Nya.
Para
jemaah juga sebaiknya memperbanyakkan sembahyang sunat Tahajjud,
Tasbih, Taubat dan Hajat menjelang keberangkatan dan juga sepanjang
berada di Tanah Suci.
Credit to http://www.jawhar.gov.my/i-umrah/index.php/persediaan-para-jemaah/48-persiapan-diri
No comments:
Post a Comment